Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB)

Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau lebih dikenali sebagai AKRAB merupakan pegawai yang dilantik sebagai rakan pembimbing rakan sekerja. AKRAB telah wujud dalam Pengurusan Sumber Manusia sektor awam sejak tahun 2005, ( Pekeliling Perkhidmatan Panduan Aplikasi psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam ). Tujuan utama kewujudan AKRAB ialah untuk menjadi penggerak kepada salah satu Program Pengupayaan Kendiri iaitu Program Pembimbing Rakan Sekerja.

Sehingga tahun 2013, seramai 17 pegawai BERNAMA telah ditauliahkan sebagai ahli AKRAB yang dikenali sebagai ahli AKRAB BERNAMA. Selain BERNAMA, banyak jabatan/agensi kerajaan lain yang telah mempunyai pasukan AKRABnya sendiri. Sehingga kini, keahlian AKRAB terus meningkat.

Dalam Perkhidmatan Awam, empat (4) program utama telah digabungkan bagi mencapai hasrat mempertingkatkan kecemerlangan pegawai awam iaitu Program Pengupayaan Kendiri yang mana satu antaranya adalah Program Pembimbing Rakan Sekerja.

Empat (4) Program Pengupayaan Kendiri tersebut adalah :
a. Program Penilaian Pekerja;
b. Program Pementoran;
c. Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam; dan
d. Program Kaunseling.

Konsep AKRAB

Program AKRAB berkonsepkan rakan membantu rakan berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing dengan perkongsian input pengetahuan serta nilai-nilai murni yang ada pada diri ahli AKRAB. Konsep AKRAB membantu rakan diwujudkan bagi menyediakan medium perantaraan antara rakan sekerja dengan pihak pengurusan sesebuah jabatan. Selain itu membolehkan pegawai berkongsi idea, tempat meluahkan perasaan, memupuk semangat berpasukan dan mendapatkan bimbingan sokongan daripada ahli-ahli AKRAB.

Peranan AKRAB

Peranan ahli AKRAB ialah untuk membantu mewujudkan pengurusan modal insan lebih humanistik. Antara peranan lain rakan sekerja ialah :

a. Berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan
b. Memberi sokongan kepada perubahan
c. Menjadi agen transformasi perkhidmatan awam
d. Memberi motivasi untuk mengekalkan perubahan
e. Menjadi pembimbing kehidupan berkerjaya
f. Menggalakkan budaya kerja berpasukan
g. Menerapkan nilai-nilai kesukarelaan dan empati

Logo AKRAB


Perkara yang boleh dilakukan oleh ahli-ahli AKRAB

Peranan yang boleh dilakukan sebagai ahli AKRAB untuk membantu orang lain adalah seperti berikut;

i) Pemudah cara dalam situasi terbuka dan empati;
ii) Terima rakan tanpa syarat;
iii) Membantu rakan melihat beberapa alternatif bagi membuat keputusan;
iv) Sokongan kepada rakan untuk mengambil langkah positif;
v) Mematuhi kerahsiaan;
vi) Menyedari bukan semua masalah boleh diatasi;
vii) Berbincang masalah harian yang biasa;
viii) Merujuk kes-kes berat kepada pegawai psikologi; dan
ix) Sayangi diri dan memahami batas diri dalam membantu rakan.

Perkara yang tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahli AKRAB

Ahli-ahli AKRAB perlulah mengamalkan tingkahlaku baik yang boleh dicontohi dan sentiasa menjaga tahap integriti yang tinggi. Walaubagaimanapun disarankan ahli-ahli AKRAB tidak melakukan perkara-perkara seperti dibawah;

i) Mendesak rakan tentang apa yang harus mereka lakukan;
ii) Memberi keputusan dan memberikan jalan penyelesaian masalah tanpa melalui sesi bimbingan;
iii) Menceritakan keburukan rakan kepada orang lain;
iv) Berbincang dengan rakan yang mengalami masalah emosi yang mendalam; dan
v) Mengendalikan masalah yang terlalu rumit sehingga mengganggu ketenteraman jiwa.