Kursus Pemantapan Kepimpinan AKRAB bermula...

Jumaat, 14 September 2018

Kursus Pemantapan Kepimpinan AKRAB Bernama/Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kursus Peningkatan Psikologi Personel 2018 bermula di Institut Pengurusan Peladang Langkawi, Pulau Langkawi malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh merangkap Pengerusi AKRAB Bernama merasmikan kursus selama tiga hari itu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KKMM Encik Chek Zainuddin Chek Jusoh dan Ketua Penyelaras kursus Puan Siti Syahida Jamalluddin turut hadir.

Kursus itu bertujuan membimbing dan mendedahkan para peserta tentang kefungsian, kemahiran dan keperluan sebagai agen kesejahteraan psikologi di tempat kerja.

Selain itu, ia akan mendedahkan peserta dengan kemahiran dan teknik Spiritual Emotional Freedom Technique (SEFT) yang dapat dijadikan mekanisme dalam meningkatkan kesejahteraan psikologi personnel.

SEFT merupakan satu kaedah membebaskan dan merawat diri sendiri atau orang lain dari penyakit fizikal dan mental dengan cara 'tapping pressure points' di badan kita.

Dalam ucapannya, Datuk Zulkefli mengucapkan terima kasih kepada KKMM kerana telah memberi sokongan kepada AKRAB Bernama dari segi kewangan dan penganjuran kursus tersebut.

Katanya, penubuhan AKRAB atau Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di agensi, jabatan dan kementerian membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

AKRAB dianggap penting dalam membantu penjawat awam yang gagal menyerlahkan potensi diri sebenar.

Datuk Zulkefli berharap AKRAB akan terus komited dan istiqomah melaksanakan aktiviti khidmat membimbing warga organisasi dan membantu petugas yang memerlukan bantuan dalam meningkat prestasi dan kecemerlangan.

Majlis itu turut meraikan ulangtahun kelahiran Datuk Zulkifli yang bakal tiba pada 2 Oktober ini.

AKRAB BERNAMA kenalpasti Barisan Peremajaan

Selasa, 15 Ogos 2018

Akrab Bernama hari ini mengenalpasti barisan peremajaannya untuk meneruskan objektif kumpulan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam.

Senarai lapan orang 'remaja' itu mewakili pelbagai jabatan dan bahagian untuk membentuk pasukan yang berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, selaku Pengerusi Akrab Bernama, mempengerusikan mesyuarat Akrab yang antara lain memuktamadkan senarai peremajaan itu. Mereka dijangka menyertai kursus Akrab Bernama akan datang.

Antara objektif Akrab ialah menyediakan perkhidmatan bimbingan bagi membantu rakan sekerja meningkatkan potensi dan kecemerlangan.

Para petugas berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di bawah 75 peratus akan dibantu berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing dengan mendengar masalah mereka. Ini bagi membolehkan langkah diambil untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi petugas berkenaan.

Mesyuarat dimaklumkan bahawa 14 orang telah dikenalpasti untuk mengikuti program Buddy Salam (Pementoran) berdasarkan LNPT tahun 2016. Sebelas daripada mereka mendapat LNPT kurang daripada 75 peratus manakala tiga petugas dirujuk kepada Akrab.

Program dilaksanakan selama enam bulan dari September 2017 hingga Februari lepas berdasarkan enam kali perjumpaan antara menti dan mentor.

Berdasarkan penemuan, program Buddy Salam didapati berkesan menjalankan tanggungjawab bimbingan yang membawa kepada peningkatan prestasi kerja para petugas berkenaan.

Akrab Bernama Rai 30 Asnaf DUN Rungkup

BAGAN DATUK, 10 Ogos (Bernama) -- Budaya memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik perlu diamalkan sepanjang masa dan bukannya hanya perlu menunggu bulan Ramadan sahaja.

Melihat keadaan itu, seramai 30 golongan kurang berkemampuan pelbagai bangsa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, di sini dipilih menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Timbalan Pengerusi Akrab Bernama Sharifah Zaini Syed Zain berkata menerusi program tanggunjawab sosial korporat (CSR) yang julung kali dilakukan pihaknya, diharapkan ia mampu mengurangkan bebanan dan kos sara hidup yang semakin tinggi ditanggung golongan asnaf itu.

Sumbangan tersebut merupakan satu usaha murni yang mana secara sedar atau tidak, ia akan menjalin rasa kasih sayang antara semua pihak dengan masyarakat.

"Insya-Allah program julung kali kita adakan hari ini akan diteruskan secara tahunan pada masa akan datang dengan melibatkan pelbagai agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Lestari Komuniti @ Rungkup yang dirasmikan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk, di sini hari ini.

Turut hadir pengerusi Akrab KKMM Zazmie Mohd Zain.

Program yang disertai 30 ahli Akrab Bernama dan KKMM turut mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JaPen).

Sementara itu, Samsuni berkata program berkenaan menunjukkan keprihatinan agensi di bawah KKMM terhadap golongan yang memerlukan tanpa mengira masa di samping merapatkan hubungan antara pihak kerajaan dengan masyarakat setempat.

Katanya program turun padang anggota Akrab Bernama wajar dicontohi bagi melihat, merasai serta berkomunikasi dengan golongan sasar yang sememangnya wajar dibela dan diberi perhatian sepanjang masa.

"Ia jelas menunjukkan bukan sahaja kerajaan, tetapi juga badan-badan pertubuhan mempunyai semangat bantu-membantu yang cukup tinggi. Budaya seperti ini kita perlu teruskan sebagai satu daripada tanggungjawab bersama," katanya.

Bagi seorang penerima bantuan tersebut, Azhari Hamid, 53, dari Kampung Tanah Lalang di sini, sumbangan berupa keperluan dapur itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya.

"Tiada apa yang dapat saya ungkapkan selain berterima kasih kepada si pemberi. Saya harap program sebegini akan diteruskan tanpa perlu menunggu bulan Ramadan bagi membantu golongan susah seperti saya," katanya yang bekerja sendiri.

Sementara itu, Chan Beng Tai, 65 dari Bagan Sungai Tiang, dan A.Ghandi, 55, dari Ladang Bagan Datuk menyifatkan program sebegini sedikit sebanyak memberi sinar harapan kepada keluarga mereka selain dapat merapatkan hubungan di antara rakyat dengan kerajaan.

-- BERNAMA

AKRAB Bernama Sedia Berkhidmat...

Oleh Ahmad Zukiman Mohd Zain

AKRAB Bernama hari ini melancarkan laman webnya untuk memaparkan kegiatannya sekaligus menarik penyertaan warga Bernama.

Laman web - akrab.bernama.com - itu memuatkan segala aktiviti dan penerangan mengenai matlamat korporat, misi, visi, objektif serta peranan AKRAB atau nama penuhnya Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.

Laman web itu dilancarkan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, yang juga penaung AKRAB Bernama.

"Saya pun nampak berseri kerana baju yang cantik," kata Datuk Yong yang memakai baju biru seragam AKRAB Bernama.

"Tapi harap bukan sahaja baju yang cantik tetapi kita dapat memberikan perkhidmatan yang berguna kepada kakitangan Bernama," katanya pada majlis pelancaran di Pusat Kecemerlangan di tingkat 12, Wisma Bernama.

Beliau menyebut mengenai Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian semalam di mana beliau berasa bangga sebagai Pengurus Besar Bernama kerana "tidak ada seorang pun kakitangan Bernama dalam senarai kakitangan kementerian yang mempunyai potongan lebih 60 peratus daripada gaji mereka."

Beliau memuji "penjaga kewangan" Bernama yang menetapkan had pinjaman kakitangan tidak boleh melebihi 35 peratus daripada gaji dan ini dapat mengelakkan mereka daripada "masuk perangkap hutang".

"When you have monetary problem, every time the phone rings, you think that's Along.. so let's not get into that situation."

"Kita mungkin boleh cari jalan dengan mengadakan tabung khas untuk membantu mereka yang bermasalah, kalau tidak, kita khuatir mereka nak keluar rumah pun takut diserang oleh Along."

"Saya tak tahu sekiranya ada kakitangan Bernama yang berada dalam dilemma seperti ini," katanya.

Beliau berharap kegiatan AKRAB Bernama diwar-warkan untuk menarik perhatian kakitangan Bernama mendapatkan bimbingan dan nasihat bagi mengatasi masalah mereka.

"Baru-baru ini integriti Bernama dipersoal.. this dark episode is a big lesson for us," katanya merujuk kepada isu plagiat membabitkan seorang pewarta Bernama.

Bagi mengelakkan perkara itu berulang, unit latihan perlu memberikan latihan secukupnya kepada para petugas editorial.

Beliau berkata Bernama telah membuktikan keupayaan untuk bersinar apabila Perdana Menteri baru-baru ini memuji sebuah rencana Bernama mengenai kisah sebuah wad hospital yang mencerminkan semangat 1Malaysia.

Seorang wartawan Bernama juga baru-baru ini mengharumkan nama negara apabila memenangi peraduan penulisan anjuran kerajaan Kazakhstan.

"Kita juga membuktikan kepada Jabatan Kastam keupayaan kita menganjurkan persidangan GST.. kita harus menggunakan kejayaan-kejayaan ini untuk terus meningkat."

"Jangan rasa pesimistik, bila rasa pesimistik, carilah ahli AKRAB.." kata Datuk Yong.

Ceramah kesedaran mengenai AKRAB turut diadakan sempena pelancaran laman web itu.

AKRAB BERNAMA Kunjungi Badan Induk

Oleh Ahmad Zukiman Mohd Zain

Selasa, 10 Jun 2014

Sebagai langkah awal menggerakkan aktivitinya, AKRAB Bernama mengadakan perjumpaan dengan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), yang menjadi badan induk AKRAB peringkat kementerian.

Timbalan pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain mengetuai pasukan dalam 'sesi perkenalan' dengan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM Datuk Abdul Rahman Mohamad dan timbalannya Encik Mohd Zamri Mat Zain di tingkat 20, Menara KKMM di Putrajaya hari ini.

Beliau memaklumkan kepada mesyuarat mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan oleh AKRAB Bernama yang dianggotai 16 orang termasuk pengerusinya, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh. Aktiviti ini termasuk mengadakan bilik dan klinik kaunseling setiap hari Selasa, perkhidmatan melalui emel, ceramah kesedaran serta perkongsian maklumat menerusi laman web yang akan dilancarkan pada 23 Jun ini.

Bernama adalah antara empat organisasi di bawah KKMM yang mempunyai AKRAB, singkatan bagi Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam. Ekoran kursus 'pasca AKRAB' anjuran KKMM di Ipoh, Mac lepas, yang dihadiri oleh semua anggota AKRAB Bernama, beberapa jawatankuasa dibentuk untuk menyelaraskan aktiviti.

Untuk meningkatkan peranannya, anggota pasukan AKRAB Bernama akan memakai baju AKRAB setiap Selasa agar mudah dikenali terutama oleh rakan sekerja yang memerlukan khidmat bimbingan. Datuk Abdul Rahman berkata pihak tertinggi kementerian 'nampak' peranan yang boleh dilakukan oleh AKRAB untuk membantu mengurangkan masalah di kalangan kakitangan.

"AKRAB ini kerja sukarela dan apabila sukarela tak ramai yang mahu.. namun kerja murni ini boleh membantu pihak pengurusan untuk menghasilkan khidmat cemerlang," katanya. Visi AKRAB KKMM ialah menjadikan AKRAB sebagai penggerak budaya kelas pertama dalam organisasi.

Objektifnya ialah menyediakan perkhidmatan membimbing bagi membantu rakan sekerja meningkatkan potensi dan kecemerlangan. Motonya pula ialah "Berkhidmat Membimbing".

AKRAB BERNAMA Wakili Kementerian Pada Konvensyen Kebangsaan

Khamis, 19 Jun 2014

AKRAB BERNAMA mendapat penghormatan mewakili AKRAB Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Konvensyen AKRAB Kebangsaan Kali ke-5 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Shah Alam hari ini.

Dengan memakai baju AKRAB, kehadiran AKRAB Bernama nyata terserlah. Konvensyen bertemakan 'AKRAB Agen Tranformasi Perkhidmatan Awam' itu dihadiri oleh wakil AKRAB dari seluruh kementerian, jabatan dan agensi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA Dr Abd Halim Mohd Hussin membentangkan kertas kerja bertajuk 'Transformasi Perkhidmatan Awam'. Sesi perkongsian ilmu turut diadakan.

AKRAB Bernama diwakili Puan Noor Fishah Osman, Encik Khairul Annuar Abdul Majid, Puan Hasnita Hj Ibrahim, Cik Masfaliza Masmuda dan Puan Norhayati Jantan.